14 December 2009

Kementerian Perumahan Rangka Pelan Strategik Baru Mantapkan Prestasi Perkhidmatan

LUMUT, 14 Dis (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sedang merangka pelan strategik baru bagi memantapkan lagi prestasi perkhidmatan kementerian itu kepada orang ramai mulai tahun depan sekaligus merekodkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang lebih baik.

Menterinya Datuk Seri Kong Cho Ha berkata pelaksanaan pelan strategik berkenaan akan menumpukan semua bahagian dan jabatan di bawah kementerian itu bagi memastikan sasaran yang ditetapkan tercapai melalui pendekatan KPI yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, April lepas.

"Bagi tahun 2009, KPKT menunjukkan pencapaian yang memuaskan dengan beberapa anugerah yang diperolehi daripada kerajaan serta pengiktirafan status empat bintang oleh Jabatan Audit Negara," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Perancangan Strategik KPKT bagi tahun 2010 di sini hari Isnin.

Beliau berkata bagi memastikan kementerian itu berjaya mencapai KPI yang ditetapkan, kerjasama daripada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) amat diperlukan kerana pencapaian KPKT turut bergantung kepada tindakan mereka seperti kelulusan pelan pembangunan dan lesen perniagaan.

Katanya untuk itu, kementerian melaksanakan proses penilaian dan penggredan PBT mengikut bintang iaitu satu hingga lima.

Mengenai mesyuarat tiga hari yang bermula semalam, Kong berkata mesyuarat itu penting bagi memastikan kementerian itu mencapai prestasi yang baik serta merancang pelan dan program yang membabitkan 13 bahagian dan enam jabatan.

Katanya semua ketua jabatan dan bahagian yang terlibat dalam mesyuarat itu akan menilai setiap aspek secara mendalam dan seterusnya merancang persediaan bagi tahun depan.

Sejurus mesyuarat itu, Kong turut melawat tempat pembakaran sampah di Sungai Pinang Kecil di Pangkor yang dibina dengan kos RM20 juta bagi menggantikan tempat pembuangan sampah lama yang tidak lagi berfungsi.

Projek berkenaan berupaya menyelesaikan masalah sampah yang dihadapi penduduk itu, yang dimulakan sejak awal tahun ini telah siap 80 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada 2010.

Katanya selain di Pangkor, kementerian itu turut menyediakan empat lagi tempat pembakaran sampah iaitu di Langkawi, Pulau Tioman, Labuan dan Cameron Highlands yang dilihat mampu mengatasi masalah pelupusan sampah.

-- BERNAMA

Anggota Tentera Yang Berkhidmat Kurang 20 Tahun Perlu Diberi Pencen Separuh: Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 14 Dis (Bernama) -- Seorang anggota Parlimen hari ini mencadangkan agar anggota tentera yang berkhidmat kurang daripada 20 tahun diberi pencen separuh bagi menghargai perkhidmatan mereka.

Datuk Mohamad Aziz (BN-Seri Gading) berkata ia adalah bagi mereka yang telah berkhidmat antara 10 hingga 15 tahun.

"Ini penting, supaya kalau kita panggil mereka untuk berkhidmat untuk negara (selepas bersara), mereka tidak akan teragak-agak untuk membantu dan mengenang jasa (kerajaan)," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2010 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pertahanan di Parlimen di sini hari Isnin.

Beliau turut mencadangkan elaun masuk hutan diwujudkan ataupun dinaikkan bagi merangsangkan lagi semangat anggota tentera.

"Contohnya, kalau masuk hutan, dapatlah elaun paling-paling kurang RM20 sehari. Kalau masuk sebulan kurang-kurang dapatlah RM600. Bila mereka ini keluar hutan adalah imbuhan yang boleh mereka bawa balik untuk diberikan kepada isteri yang menunggu selama sebulan di rumah," katanya.

Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) pula membangkitkan keperluan kebajikan anggota tentera yang perlu dipertingkatkan khususnya dari segi perumahan dan gaji memandangkan ada anggota tentera yang terlibat dengan kegiatan negatif seperti merompak dan mencuri kerana gaji yang tidak mencukupi.

-- BERNAMA

Cuepacs Terima Aduan Pekerja Tamat Kontrak 31 Dis Ini

SHAH ALAM, 13 Dis (Bernama) -- Cuepacs sudah menerima aduan daripada kakitangan kontrak yang bakal ditamatkan perkhidmatan pada 31 Dis ini, antaranya Kementerian Pelajaran, Majlis Tindakan Pelancongan Negeri dan Jabatan Pertanian.

Presidennya, Omar Osman berkata Cuepacs menerima aduan hampir setiap hari berhubung kebimbangan kakitangan kontrak yang tidak disambung perkhidmatan itu dan kebanyakan mereka kini semakin tertekan dan terhimpit dengan keadaan tidak pasti berkenaan.

"Setakat ini sahaja, kami terima aduan daripada kira-kira 200 pekerja kontrak Majlis Tindakan Pelancongan Negeri...atas alasan bajet tidak mencukupi, dan kami anggarkan jumlah itu akan meningkat.

"Cuepacs merayu supaya kerajaan mempertimbangkan semula rancangan untuk menamatkan perkhidmatan kakitangan terbabit demi masa depan mereka," kata beliau kepada pemberita selepas menutup Kursus Bola Tampar Peringkat Negeri Selangor di sini hari Ahad.

Omar berkata kebanyakan pekerja kontrak terlibat merangkumi golongan muda berusia antara 25 hingga 30 tahun dan sudah berumah tangga.

"Pekerja kontrak yang dilantik melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), tidak menghadapi masalah kontrak mereka dilanjutkan," katanya yang menambah terdapat kira-kira 60,000 kakitangan awam kontrak di negara ini.

Sementara itu, Omar meminta kerajaan menangguhkan tarikh peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) bulan ini sebab mendapati ramai tidak lulus peperiksaan tersebut.

"Kalau boleh, kami minta kerajaan menilai semula pelaksanaan PTK ini," katanya.

-- BERNAMA