16 October 2007

Keputusan usia pencen bila-bila masa

Berita Harian

Oleh Magendran Rajagopal

KUALA LUMPUR: Keputusan kaji selidik Jabatan perkhidmatan Awam (JPA) mengenai lanjutan umur persaraan melebihi 56 tahun sudah dikemukakan kepada kerajaan dua bulan lalu dan keputusan mengenainya akan diumumkan pada bila-bila masa.

Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Ismail Adam, berkata kini terpulang kepada budi bicara Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, bagi menentukan apa yang terbaik.

"Kajian JPA merangkumi amalan peringkat antarabangsa yang diguna pakai sekarang, berikutan cadangan Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) supaya usia persaraan dilanjutkan melebihi 56 tahun.

"Umur persaraan wajib mengikut undang-undang pencen bagi pegawai perkhidmatan awam, pekerja pihak berkuasa berkanun atau tempatan ialah 55 tahun, tetapi dilanjutkan kepada 56 tahun pada Mei 2001.

"Kajian turut mengambil kira jangka hayat sekarang dan kesan kewangan terhadap negara," katanya kepada Berita Harian.

Lanjutan umur persaraan wajib memerlukan pindaan kepada Akta Pencen 1980 (bagi anggota perkhidmatan awam) dan Akta Pencen Pihak-pihak Berkuasa Berkanun Dan Tempatan 1980 (bagi pekerja badan berkanun dan kuasa tempatan).

No comments: